Keisuke Honda Bakal Kendalikan Kemboja Hadapi Piala AFF Suzuki 2020

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kemboja bakal mendapatkan sentuhan bekas pemain skuad kebangsaan Jepun, Keisuke Honda apabila mereka beraksi dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang akan bermula pada 5 Disember ini.

Menurut perkongsian Asean Football di laman media sosial Twitter, Honda yang ketika ini beraksi dalam saingan liga Lithuania bersama FK Sūduva. Kontrak beliau tamat pada 28 November lalu dan Honda terus mengambil tugas untuk mengendalikan Kemboja dalam saingan edisi kali ini.

Honda sebelum ini dilantik sebagai pengurus pasukan dan Ryu Hiroshe sebagai ketua jurulatih. Bekas pemain AC Milan dan CSKA Moscow itu akan menguruskan pasukan dalam perlawanan yang berada dalam kalendar FIFA dan Hiroshe akan mengambil tanggungjawab tersebut sekiranya Honda mempunyai tugasan lain.

Kemboja bakal membuka saingan peringkat kumpulan B menentang Malaysia pada 6 Disember ini dan ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe menganggap ianya bukan satu tugasan mudah pada aksi pertama nanti.

“Kemboja bermain dengan baik di bawah bimbingan Keisuke honda dan Ryu Hiroshe. Mereka berkembang dengan pesat, jadi menentang mereka bukan satu tugas mudah bagi kami.

“Saya tidak mahu pemain terlebih yakin pada aksi pembukaan nanti. Mereka mempunyai barisan pemain yang bagus seperti Chan Vathanaka yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

“Kami harus berhati-hati apabila turun menentang Kemboja. Mereka adalah satu pasukan yang bekerja keras dan banyak melakukan larian dalam perlawanan. Mereka juga tidak mudah untuk menyerah kalah,” kata Cheng Hoe.

Selepas menentang Malaysia, Kemboja akan turun menentang Indonesia pada perlawanan kedua diikuti dengan Laos pada perlawanan ketiga. Angkor Warriors akan mengakhiri aksi peringkat kumpulan dengan menentang juara bertahan iaitu Vietnam.

Sumber: VOCKET FC