Pahala merupakan balasan yang baik sepertimana dikurniakan oleh Allah kepada hambanya kerana mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Umat Islam seringkali dikaitkan dengan pahala ketika melakukan sesuatu yang baik.
Namun, pahala merupakan rahsia Allah yang kita tidak tahu. Kita juga tidak akan mengetahui berapa bilangan pahala yang kita dapat daripada setiap amalan dan kebaikan yang kita lakukan.
Ini kerana janji Allah dalam menyempurnakan pahala bagi mereka yang tunduk dan patuh pada segala suruhan Allah serta meninggalkan larangan-Nya ada disebutkan di dalam Surah Al-Imran ayat 57 yang bersabda bermaksud:
“Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.”
Oleh itu, bagi sesiapa yang membuat setiap kebajikan, Allah SWT akan menambahkan balasan daripada rahmat-Nya dengan gandaan yang tidak terkira. Maka, wajib ke atas kita sebagai umat Islam dan hamba kepada-Nya untuk beriman dan melaksanakan perintah Allah dengan baik bagi mendapatkan keredaan Allah dalam hidup kita.
Terdapat beberapa cara untuk kita ‘booster’ pahala dengan melakukan amalan-amalan yang baik lebih-lebih lagi kita sedang berada di bulan yang sangat mulia iaitu bulan Ramadan.
Antara amalan tersebut ialah:
1. Solat Secara Berjemaah
Pahala bagi solat secara berjemaah lebih banyak daripada solat bersendirian. Maka, digalakkan untuk kita solat berjemaah sama ada berjemaah di masjid atau di rumah supaya mendapat pahala yang berganda. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat”. (Hadis Riwayat Muslim 650)
2. Perbanyakkan Membaca Al-Quran & Berzikir
Di bulan Ramadan ini juga dikenali seagai bulan di mana al-Quran diturunkan. Jadi, isilah masa kita yang ada ini dengan membaca al-Quran kerana ganjaran membaca satu huruf al-Quran akan diberikan sepuluh kebaikan. Ada disebutkan dalam sebuah hadis baginda Rasulullah:
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang sama dengannya. Aku tidak mengatakan “Alif Lam Mim” (di permulaan surah) itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadis Riwayat Tirmizi 2910)
Selain itu, berzikir juga merupakan salah satu amalan yang dapat membersihkan hati dan menyucikan jiwa manusia agar dapat mendekatkan diri kepada pencipta-Nya. Oleh itu, perbanyakkan berzikir dan memohon ampun kepada Allah lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.
3. Perbanyakkan Melakukan Solat-Solat Sunat
Sekiranya sebelum ini kita jarang atau tidak pernah melakukan solat sunat, jadi inilah masanya untuk tingkatkan solat sunat supaya bertambah pahala. Ini kerana solat sunat bukanlah solat yang wajib dilakukan, tetapi apabila kita melakukannya kita akan mendapat pahala sunat. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini, pahala ibadah akan berlipat ganda jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.
Antara contoh solat sunat yang boleh kita lakukan adalah solat sunat terawih, solat sunat Tahajud, solat hajat dan lain-lain solat sunat yang dituntut agar ibadah kita terutamanya di bulan Ramadan semakin lengkap dan mendapat ganjaran pahala sangat besar.
4. Perbanyakkan Sedekah
Islam sangat menuntut umatnya untuk prihatin terhadap kebajikan orang lain tanpa mengira bangsa bahawa mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita ataupun tidak kerana balasan orang yang suka bersedekah ini amat besar pahalanya di sisi Allah. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 274 yang bersabda bermaksud:
“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yag tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki.”
5. Mengukuhkan Ikatan Silaturrahim & Mendoakan Kebaikan Orang Lain
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.” (Hadis Riwayat Bukhari 5986)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah menunjukkan bahawa pertalian silaturrahim ini amat penting. Oleh itu, kita perlu kukuhkan hubungan silaturrahim kita dengan saudara yang lain dengan cara menziarahi kaum kerabat kita yang dalam kesusahan dan kesulitan, beri bantuan jika mereka memerlukan dan berdamai jika ada perselisihan antara keduanya.
Selain itu, salah satu terkabulnya doa kita adalah ketika kita mendoakan yang terbaik kepada saudara atau orang lain. Bukan itu sahaja, malah mendoakan orang lain akan mendapat pahala dan malaikat juga mendoakan kita. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan).” (Hadis Riwayat Muslim 2732)
Oleh itu, marilah sama-sama kita meningkatkan pahala kita dengan melakukan amalan-amalan yang baik serta beribadah dengan seikhlas hati agar ibadah yang kita lakukan diterima oleh Allah.
Sumber: MSTAR