KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu bakal menganjurkan kembali sukan Kejohanan Tour Gateh D’Tranung 2022 yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Terengganu yang kali terakhir diadakan pada tahun 2011.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kejohanan yang akan bermula 20 hingga 25 Mac ini melibatkan 5 pusingan di sepanjang 8 daerah yang bermula dari Kuala Terengganu dan berakhir di Kemaman dengan laluan sejauh hampir 600 kilometer.
“Program yang bakal diadakan ini melibatkan 27 pasukan termasuk dua dari Singapuraserta beberapa pasukan dari setiap negeri seperti Terengganu sendiri sebanyak dua pasukan.”
“Program ini adalah sebahagian daripada pendekatan ‘sport tourism’ dalam merancakkan kembali ekonomi negeri melalui sektor pelancongan berasaskan sukan.,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Majlis Sukan negeri (MSN), Shahrizal Yahya dan Timbalan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLTB) Mazlan Md Jali.
Tambahnya lagi, dengan penglibatan 15 pasukan negeri dan 14 pasukan bertaraf profesional, ia diharap mampu melonjak dan menarik kedatangan lebih ramai pelancong khususnya para peminat sukan berbasikal ke negeri ini.
“Kejohanan yang menelan belanja sekitar RM650,000 ini juga akan disiarkan secara penstriman selama enam hari bermula perlumbaan peringkat pertama hingga ke acara penyampaian hadiah.
“Jadi, sepanjang kejohanan ini seluruh peminat-peminat basikal di seluruh dunia boleh mengikuti perkembangan kejohanan secara langsung menerusi ‘address’ yang akan kita maklumkan selepas ini”
Wan Sukairi berkata antara pasukan profesional yang menyertai bagi merebut hadiah RM 60,000 dalam kejohanan tersebut ialah Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling, Singapore Cycling Federation, Omirong Racing Team, TSS Cycling Team dan Cyclo Racing Team.
Menurutnya, kejohanan ini dalam perancangan untuk diadakan secara dwitahunan dan penyertaan diperluas ke peringkat dunia.
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM