KUANTAN– Saban hari, keunikan tradisi berbuka puasa berkonsepkan makan dalam talam kian dilupakan. Berbeza dengan Universiti Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), tradisi itu masih dikekalkan sejak lebih 15 tahun lalu sehingga hari ini.
Setiap hidangan yang boleh dinikmati lima hingga enam orang itu secara tidak langsung merapatkan ukhwah antara warga universiti.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, dalam pada masa yang sama, makan dalam talam mampu memudahkan proses menghidang dan permbersihan.
“Penyediaan juadah berbuka puasa untuk 2,000 pelajar kampus Pekan dan Gambang itu disediakan pada setiap hari oleh staf dan pelajar secara bergilir-gilir mengikut jadual yang ditetapkan di bawah penyelarasan Pusat Islam dan Pembangunan Insan (Pimpin),” katanya.
“Penyediaan dan pengagihan iftar Ramadan ini dilaksanakan melalui kerjasama Yayasan UMPSA dan Pimpin. Inisiatif ini disediakan melalui dana Tabung Ramadan Yayasan UMPSA sumbangan pelbagai pihak termasuk organisasi korporat, anak syarikat UMPSA dan jabatan”
Jelas beliau, UMPSA turut menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan Ramadan kali ini termasuk penganjuran Festival Ramadan dengan pengisian solat tarawih, tadarus dan iftar jamaie.
Aktiviti lain adalah, program ziarah mahabbah anak-anak yatim, sahur ride UMPSA 2024, memasak bubur lambuk, ceramah Nuzul Quran, kem hafiz Ramadan, majlis khatam Quran Hour, geng subuh macam Jumaat, tahajjud call pecutan terakhir dan pertandingan penulisan Ramadan kreatif. Ia terbuka kepada warga kampus dan masyarakat setempat.
– SINAR HARIAN