Kelab Uzbekistan Bangkit Atasi KDA FC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memulakan jelajah pra-musim 2023 di Antalya, Turkiye dengan langkah kiri apabila tewas 2-1 kepada kelab Liga Super Uzbekistan, Nasaf FC di S&B Sports Complex semalam.

Dalam perlawanan itu, KDA FC mendahului permainan dengan gol pada minit ke-58 hasil jaringan penyerang import dari Brazil, Willian Lira.

Nasaf FC yang berada dalam senarai tiga pasukan teratas Liga Super Uzbekistan musim lalu itu bagaimanapun berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi penyerangnya Khusain Norchaev pada minit ke-80.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila tiga minit kemudian, penyerang berusia 21 tahun itu menambah jaringan menerusi sepakan penati untuk kemenangan The Dragons.

Menurut pemilik kelab Sang Kenari, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, ujian pertama yang dilalui KDA FC itu bagaimanapun merupakan satu ruang mencari peningkatan buat pasukan yang akan mengharungi tiga lagi perlawanan selepas ini.

“Sang Kenari memulakan siri jelajah pra-musim dengan satu kekalahan yang mahal. Tidak mengapa wahai Sang Kenari, belajar daripada kesilapan, kekurangan untuk terus meningkatkan lagi keupayaan.

“Inilah pentas untuk menguji semua yang anda ada atau pun tidak ada. Ada ruang untuk penambahbaikan dan Sang Kenari mula ingin terbang lebih tinggi,” kata Mohd Daud.

Sang Kenari akan menentang dua kelab Liga Premier Kazakhstan – FC Shakter Karaganda malam ini dan FK Maktaaral pada 12 Februari sebelum aksi terakhir Sang Kenari di Antalya, Turki menentang kelab Liga Premier dari Ukraine FC, Metalist Kharkiv pada 14 Februari.

Sumber: BERITA HARIAN