Kelantan akan tutup 24 PPV hujung Oktober

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Semua pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini akan ditutup pada hujung Oktober depan berikutan kadar vaksinasi sudah mencapai 94 peratus bagi dos pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, PPV yang akan ditutup itu termasuk 20 PPV awam dan empat lagi PPV integrasi di seluruh daerah.

Katanya, sebahagian besar daripada PPV itu akan ditutup bermula minggu hadapan sehingga pertengahan Oktober ini sebelum ditutup sepenuhnya akhir bulan.

“Sepatutnya semua PPV ini ditutup pertengahan Oktober, namun pihak Jawatankuasa Keselamatan memohon untuk melanjutkan operasi PPV sehingga hujung bulan depan.

“Pelanjutan operasi PPV ini bagi membuat persiapan untuk memberi suntikan dos kedua kepada individu yang sudah menerima suntikan pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Dr Izani berkata, bagi individu yang belum menerima vaksin, mereka boleh berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil suntikan.

Pada perkembangan lain, Dr Izani berkata, vaksin Covid-19 dalam kalangan remaja berusia 16 dan 17 tahun di negeri ini sudah mencapai 80 peratus sehingga kini.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana sambutan vaksin dalam kalangan remaja amat menggalakkan.

“Data golongan remaja ini diperolehi menerusi Jabatan Pendidikan Negeri dan KKM. Bagi urusan vaksin remaja, mereka ini akan menerima vaksin di sekolah,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan jangan memandang remeh walaupun sudah lengkap dua dos.

Katanya, kes Covid-19 di Kelantan masih tinggi iaitu mencatatkan jumlah empat angka.

Sumber: My Metro