Kelantan Gigit Jari di Laman Sendiri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kuching City memulakan saingan Liga Super 2023 dengan langkah kanan apabila mengejutkan Kelantan FC 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, petang tadi.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun buntu menjaringkan gol pada babak pertama sebelum tuan rumah berada di depan menerusi jaringan bekas pemain La Liga, Miguel Angel Cifuentes pada minit ke-51.

Bagaimanapun, keceriaan 5,138 penyokong The Red Warriors yang hadir ke stadium tidak lama apabila pelawat menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian.

Pemain import dari Liberia, Abu Kamara menjana gerakan gol itu apabila hantarannya membantu Abdallah Sudi menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohamad Rozaimi Rahamat.

Kamara, 26, sekali lagi menjadi duri dalam daging buat tuan rumah apabila meledak gol kedua pelawat pada minit ke-71.

Kelantan kemudian melakukan pertukaran pemain dengan mengeluarkan pemain import, Nuha Marong dengan digantikan Ikhwan Yazek.

Namun, persembahan pasukan Kijang Merah tidak banyak berubah menjadikan keputusan 1-2 kekal hingga wisel penamat menyaksikan Kuching City membawa pulang tiga mata berharga.

– BERITA HARIAN