Kelantan ‘Hadiahkan’ Selangor Rekod Baharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kemenangan besar 11-2 ke atas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi meletakkan Selangor sebagai pemegang rekod kemenangan dengan jaringan terbesar dalam sejarah Liga Super.

Keputusan luar jangka yang dilakar Gergasi Merah menyaksikan mereka memadam rekod 16 tahun pasukan Perak yang meratah Melaka 9-0 dalam saingan liga utama itu pada 2007.

Apa yang menariknya dalam aksi di Kota Bharu, Selangor bangkit berpesta gol selepas dikejutkan dengan dua jaringan awal Kelantan menerusi Natanael Siringo Ringo dan Fazrul Amir Zaman pada minit kelima dan 14.

Di sebalik kegembiraan Selangor meraikan kemenangan besar digelanggang lawan, keputusan itu menyaksikan maruah pasukan Kelantan yang pernah mengecapi zaman kegemilangan beberapa tahun lalu kini tercalar teruk.

Apa tidaknya, ia kekalahan ketiga terbesar berturut-turut dialami skuad kendalian Alfredo Vera selepas dibelasah Terengganu 0-8, Isnin lalu sebelum tunduk 0-10 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Bagi tiga perlawanan itu sahaja The Red Warriors (TRW) bolos 29 gol yang menyaksikan mereka sudah melepaskan 106 gol bagi semua pertandingan musim ini termasuk 87 kali bolos dalam 21 perlawanan Liga Super.

Selain rekod baharu dicipta Selangor dan rekod buruk menimpa Kelantan, beberapa perkara lain turut menarik perhatian dalam aksi yang mencetuskan api kemarahan penyokong TRW itu.

Ia termasuk empat jaringan diledak mesin gol Selangor, Ayron Del Valle membolehkan dia memintas pemain import JDT, Fernando Forestieri untuk berada di tangga teratas carta penjaring terbanyak Liga Super ketika ini dengan mengumpul 21 gol.

Penampilan pertama penyerang lincah Selangor, Faisal Halim selepas terpaksa berehat sebulan susulan penggantungan yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga menyerikan pertembungan itu.

Lebih manis, pemain berusia 25 tahun itu membuktikan sentuhanya tetap berbisa apabila meledak dua gol pantas pada minit ke-51 dan 54 selepas dimasukkan pada awal babak kedua.

Bagaimanapun, malang bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid apabila terpaksa menerima kekalahan yang begitu besar dalam ‘aksi’ pertamanya selepas dilantik memegang jawatan itu berkuatkuasa, Selasa lalu.

– BERITA HARIAN