Kelantan Kukuh Cengkaman di Persada Liga Perdana

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
sumber foto : BERITA HARIAN

KOTA BHARU – Kelantan FC terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Perdana apabila menjinakkan Kuching City FC 2-0, petang tadi.

Kemenangan itu menyaksikan The Red Warriors (TRW) mengutip 29 mata daripada 12 perlawanan, empat mata mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di tangga kedua yang bermain kurang satu perlawanan.

Ia juga membolehkan skuad kendalian Rezal Zambery Yahya mengekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Muhammad IV dan membalas dendam kekalahan kepada lawan itu pada pusingan pertama April lalu.

Bagaimanapun, skuad kendalian Rezal Zambery Yahya terlebih dahulu cemas apabila diasak Kuching FC menerusi lambungan Wan Faiz Wan Sulaiman namun sekadar melepasi tiang gol.

Kelantan kemudian membuat dua pertukaran pemain di minit akhir separuh masa pertama dengan mengeluarkan Danial Hadri dan Dzulfahmi Hadi serta memasukkan import, Nixon Guyhelrme dan Shahrul Iqwan.

Kedua-dua pasukan bersaing mencari gol pembukaan namun gagal membolosi gawang gol masing-masing sehingga tindakan kapten Kuching City FC, Mohamad Adam Shreen mengasari Nixon menyaksikan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit akhir babak pertama.

Nixon kemudian mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pendahuluan tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Kelantan terus dahaga memburu gol namun tandukan Felipe Hereda gagal membolosi gawang lawan.

Tuah seakan terus memihak Kelantan, apabila percaturan Rezal memasukkan Ikhwan Yazek berjaya apabila pemain itu membalas kepercayaan dengan gol kedua Kelantan pada minit ke-73.

Sumber: BERITA HARIAN