Kelantan Kutip RM3.056 Juta Untuk Palestin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Kelantan berjaya mengumpul sebanyak RM3.056 juta hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang akan disalurkan kepada penduduk Palestin.

Sumbangan itu diperoleh menerusi beberapa saluran termasuk Tabung Aid4 Palestin sebanyak lebih RM2 juta; Gabungan Usahawan Prihatin Kelantan (RM526,000) dan kerajaan negeri Kelantan sebanyak RM400,000.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, ketika mengumumkan perkara itu berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan sumbangan.

Katanya, kutipan berkenaan berjaya dikumpul dalam tempoh seminggu dan ia akan dilakukan secara berterusan selagi penduduk di Palestin diserang Israel.

“Jumlah kutipan berkenaan akan diserahkan kepada NGO di bawah Tabung Aid4 Palestin dalam masa terdekat dan kita bersyukur ada juga yang menderma dalam bentuk barangan termasuk barang kemas dan jam tangan selain wang tunai.

“Kita bersyukur berjaya mengumpul sejumlah lebih RM3 juta dalam masa seminggu sahaja dan kutipan ini akan dilakukan secara berterusan bagi membantu penduduk Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin Peringkat Kelntan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

– BERITA HARIAN