Kelantan mohon penjelasan lanjut royalti petroleum

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Kelantan memohon penjelasan lanjut daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai pembayaran royalti petroleum.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya memandang serius jawapan bertulis dalam Persidangan Dewan Rakyat yang dilihat tidak selari dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Untuk rekod Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 memutuskan kerajaan akan memansuhkan Program Wang Ehsan dan memutuskan bayaran tunai petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

“Bayaran tunai dan hasil pengeluaran bagi Kelantan telah diperakui Kerajaan Persekutuan dalam Persidangan Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2019 dan 28 Julai 2020 oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpendirian bahawa bayaran tunai adalah kaedah tepat berdasarkan peruntukan jelas dalam perjanjian 1975 antara kerajaan negeri dan Petronas.

Menurutnya, ia selaras dengan pendirian dan keputusan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Kerajaan negeri percaya pendirian ini berlandaskan semangat federalisma dan Keluarga Malaysia demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat Kelantan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Tengku Datuk Seri Zafrul berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat kelmarin, beliau dilaporkan berkata, ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.

Sumber: My Metro