Kelantan mula vaksin ‘walk-in’, jangka capai imuniti kelompok akhir September

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Seramai 5,164 penduduk Kelantan menerima suntikan vaksin Covid-19 secara jumpa terus atau ‘walk-in’ dalam tempoh sehari, sejak kaedah itu dilaksana bermula semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pemberian vaksin walk-in dikuatkuasakan selepas diputuskan pada mesyuarat Sabtu lalu, yang mengambil kira data pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di MySejahtera selain, bekalan vaksin negeri itu.

Katanya, ia dilaksana di 21 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negeri dan setakat ini menerima sambutan menggalakkan penduduk.

“Kita melaksanakan langkah ini kerana mendapat bekalan vaksin sebanyak 1.2 juta dos daripada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) pada Ogos lalu dan dijangka 1.2 juta pada bulan ini.

“Bekalan vaksin sampai secara berkala iaitu seminggu sekali dan bekalan setakat ini cukup. Kita juga boleh melaksanakan suntikan antara 32,000 hingga 35,000 dos sehari.

“Jika ini berterusan dan berjalan lancar, kita jangka pada 30 September ini Kelantan dapat mencapai imuniti kelompok atau suntikan vaksin 80 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Zaini berkata, bagi mencapai imuniti kelompok, Kelantan juga membuka empat PPV integrasi di empat lokasi bagi meningkatkan lagi bilangan vaksinasi selaras dengan bekalan yang diterima daripada CITF.

“Bilangan mereka yang sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 sehingga kelmarin adalah 49 peratus dan jangkaan meningkat ke 50 peratus hari ini.

“Kita juga akan melihat kembali data daripada Jabatan Perangkaan yang merekodkan 1.2 juta penduduk dewasa di negeri ini. Kita akan tengok sama ada, mereka ini ada di Kelantan atau di luar negeri bagi memudahkan proses vaksinasi,” katanya.

Sumber: My Metro