Kerajaan Kelantan kini sedang menaik taraf beberapa lokasi pelancongan yang kini semakin mendapat tempat terutama pelancong domestik ketika pandemik COVID-19 ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Datuk Anizam Abdul Rahman berkata antaranya membina laluan keluar masuk ke tempat berkenaan yang lebih teratur.
“Antaranya di Lata Renok, Lata Janggut dan Gunung Stong di Kuala Krai dan Jeli serta menambah kemudahan asas lain,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mustapa Mohamed (Bersatu-Ayer Lanas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Anizam berkata semua ketua jajahan akan dibabitkan bersama dalam menyenaraikan beberapa projek dalam usaha menaik taraf lokasi pelancongan berkenaan.
“Pelancongan alam semula jadi kini semakin mendapat tempat dan menjadi fenomena baharu di Kelantan dan disebabkan itu usaha menaik taraf akan diteruskan pada tahun hadapan dengan kerjasama pihak swasta dan kerajaan negeri,” katanya.
Selain itu, katanya kerajaan negeri turut memperkenalkan kemudahan pengangkutan menggunakan bas yang dicater untuk membawa pelancong ke 17 destinasi pelancongan di sekitar Kelantan.
“Antara destinasi menarik yang melibatkan perkhidmatan bas itu ialah Pantai Mek Mas, Pasar Terapung Pengkalan Datu dan Pantai Senok (Pulau Nami).
“Pihak pelancongan juga mempergiatkan usaha mempromosi kraftangan di negeri ini termasuk kesenian wau, batik dan pelbagai kebudayaan yang lain,” katanya.
Sumber : Bernama