KOTA BHARU – Polis Kelantan merekodkan 13 kes berkait dengan buli dalam tempoh sembilan bulan tahun ini bermula Januari hingga September.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada jumlah tersebut hanya satu kes dicatatkan melibatkan pelajar sekolah rendah.
“Ini kes yang kita buka siasatan dan ada keterangan.
“Saya percaya ada kes tidak ditularkan dan dilaporkan,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, sepanjang tempoh tiga tahun bermula 2021 hingga 2023 (September) sebanyak 26 kes buli dilaporkan.
Ujarnya, situasi itu menunjukkan sesuatu yang perlu diambil serius oleh semua pihak termasuk ibu bapa dan pihak sekolah.
“Kita faham perbuatan usik-mengusik, tarik beg, tapi apabila berlaku perbuatan fizikal seperti sepak dan sebagainya, ini yang perlu diberi perhatian.
“Ia boleh berkembang dan akhirnya menyebabkan mereka ditangkap polis, ada rekod. Ibu bapa, pihak sekolah perlu ada rasa gerun dan takut,” katanya.
Tambah beliau, kebanyakan ibu bapa tahu anak-anak mereka pembuli dan biasanya datang dari keluarga bermasalah.
– Sinar Harian