Kelantan rekod kadar RT harian tertinggi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Kelantan mencatatkan kadar kebolehjangkitan (RT) harian tertinggi di negara ini iaitu pada 1.32 setakat semalam, berbanding RT nasional 1.19.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia berikutan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak sehingga menyebabkan tujuh daerah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat lalu sehingga 29 April ini.

Katanya, sehingga kini masih terdapat 2,627 sampel yang belum mendapat keputusan ujian Covid-19.

“Lebih membimbangkan lagi penggunaan katil hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) juga semakin meningkat. Sebanyak 23 peratus kes dikesan tidak membabitkan kontak rapat yang mana ia menunjukkan jangkitan dalam komuniti sangat tinggi.

“Langkah penutupan sekolah dalam kawasan PKP juga terpaksa dilaksanakan berikutan 30 peratus jangkitan adalah dalam kalangan warga sekolah.

“Justeru, beberapa langkah akan diambil bagi mengatasi penularan di tempat kerja, sekolah, masjid dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad berkata, sepanjang PKP ini rakyat diminta untuk mengadakan solat hajat di masjid dan kediaman masing-masing, memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bersedekah.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menyeru semua pihak mengambil peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi membendung penularan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Semoga Allah SWT memberi perlindungan dan kesejahteraan kepada negeri Kelantan daripada Covid-19,” katanya.

Semalam, Kelantan merekodkan sebanyak 225 kes Covid-19 baharu.

Pada masa yang sama, Sekolah Menengah Sains Machang juga akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini sehingga sehingga 1 Mei depan.

Sumber: My Metro