Kota Bharu: Kelantan bersiap sedia untuk menghadapi banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negeri ini pada hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, untuk menghadapi situasi itu, kerajaan negeri mengenal pasti 534 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri.
Kata beliau, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan diadakan sebelum tiba musim tengkujuh.
“Pada masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga mengambil langkah siap siaga dengan menyediakan kenderaan dan peralatan ketika banjir.
“Dari segi logistik, JPS negeri mempunyai 44 pacuan empat roda, sembilan lori, dua jentera berat, 13 bot, pam bergerak dan 53 jaket keselamatan.
“JPS juga melaksanakan beberapa projek untuk mencegah banjir seperti membaik pulih runtuhan tebing di Kampung Pohon Celagi di Pasir Mas, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (Kesban) Fasa 1 serta menaik taraf sistem saliran terusan Semerak dan Sungai Kemasin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Amran Ariffin (BN-Paloh) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mumtaz (PAS- Demit) berkata, kerajaan negeri juga menyediakan prosedur operasi standard (SOP) patuh syariah pengurusan mangsa di PPS bagi menghadapi banjir sepanjang pandemik Covid-19.
Kata beliau, mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS akan menjalani ujian saringan dan dipantau di bilik isolasi dalam tempoh 24 jam hingga 36 jam selepas disahkan negatif.
Kemudian, mereka akan dibawa ke bilik kuarantin di khemah berasingan selama 14 hari. Bagaimanapun, sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan.
“Bilik khas saringan awal akan disediakan di PPS terpilih bagi menempatkan mangsa banjir bergejala dari zon merah atau terdedah kepada pesakit Covid-19, manakala petugas kesihatan akan berada di PPS.
“Kita juga akan menyediakan makanan bungkus kepada mangsa banjir untuk mengelakkan penularan Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan sukarelawan akan melakukan sanitasi di bilik di PPS secara berkala mengikut keperluan.
Sumber: My Metro