Kota Bharu: Kerajaan Negeri Kelantan menyediakan hampir 10,000 peluang pekerjaan melalui industri berasaskan keluaran hasil negeri itu sejajar dengan pemulihan ekonomi dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, usaha membantu rakyat Kelantan mendapatkan pekerjaaan adalah antara salah fokus utama kerajaan negeri selain untuk membangun semula ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Katanya, penyediaan peluang pekerjaan sudah menjadi matlamat kerajaan negeri pada tahun sebelum ini namun tidak mencapai objektif susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), jadi peluang Fasa 4 akan digunakan sebaiknya.
“Pelbagai pelaksanaan dilakukan untuk merealisasikan hasrat berkenaan termasuk melancarkan Bandar Perabut di Gua Musang, pembangunan Ladang Solar di Danau To’ Uban, Pasir Mas, dan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri di Machang.
“Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan RM285,000 bagi membiayai Program Peningkatan Daya Saing dan Inovasi Usahawan Kelantan dengan kerjasama SIRIM Berhad.
“Begitu juga dengan kelulusan RM100,000 melalui Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan (MPUK) untuk membiayai program Misi Support Usahawan,” katanya.
Beliau ditemui dalam sidang media di Majlis Amanat Tahun Baru 2022 di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Ahmad berkata, usaha membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana perlu diperhebat agar dapat membuka peluang pasaran yang lebih luas dalam membantu usahawan tempatan yang dihimpit kesan pandemik Covid-19.
“Selain menfokuskan penyediaan peluang pekerjaan, kerajaan negeri turut menekankan kepada matlamat menangani gejala sosial serta maksiat dan kebersihan di seluruh kawasan negeri itu.
“Saya ingin menekankan setiap dasar dan program yang dilaksanakan bermula tahun 2022 perlu ditambah baik, dinilai dan diberi nafas baharu supaya lebih berkesan dan sesuai dengan perkembangan semasa.
“Kesemuanya hendaklah dilaksanakan mengikut syariat. Kita perlu merakyatkan lagi dasar yang kita ada termasuklah pemantauan dan penilaian berterusan pelaksanaan Pelan Strategik Kelantan Melangkah Kehadapan,” katanya.
Menurutnya, pihak Setiausaha Kerajaan Negeri juga diharap dapat mengambil langkah proaktif dalam merealisasikan perkara berkenaan.
Sumber: My Metro