Kelantan United Dapat Tajaan Syarikat Jepun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kelantan United Football Club (KUFC) mendapat suntikan motivasi menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila menerima tajaan baharu bernilai RM150,000.

Perkembangan itu sekali gus menjadikan KDDI Malaysia Sdn Bhd sebagai syarikat kedua dari Jepun yang menaja KUFC selepas syarikat minuman pribiotik,Yakult Sdn Bhd.

Selain wang tunai, KDDI turut bersetuju melaksanakan program pembangunan bola sepak bersama KUFC bagi musim ini. Memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak itu diadakan di Hotel Perdana, di sini, hari ini.

KUFC diwakili Pengarah Eksekutifnya, Anas Karimi Ahmad Thani manakala KDDI Malaysia oleh pengarah urusannya, Masaki Matsuura.

“Kita kini lebih memilih penaja kerana peruntukkan kepada pasukan naik sekali ganda berikutan KUFC kini mengurus tiga pasukan musim ini.

“Ini termasuk pasukan Piala Presiden dan Piala Belia. Jadi kita cari penaja yang betul-betul dapat bagi komitmen sebab tahun lalu penaja tak dapat bagi komitmen sebab COVID-19,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zul Ikman berkata KUFC hari ini turut menerima dua pemain import daripada Nigeria dan Ghana selepas mereka selesai tempoh tamat kuarantin wajib. Katanya, kedua pemain itu akan memperkuat pasukan di bahagian tengah dan serangan.

“Mereka akan menjalani ujian kesihatan petang ini dan esok sebelum memulakan sesi latihan bersama pemain lain,” katanya.

Sementara itu, Matsuura berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama kali pertama bersama pasukan bola sepak Malaysia yang diperkenalkan oleh Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada.

Katanya, kerjasama Yakult dan KUFC memberi keyakinan buat syarikatnya yang berteraskan telekomunikasi dengan pasukan itu selain kehadiran lagenda Jepun, Masashi Motoyama.

“Pada masa akan datang, kita akan fikirkan kerjasama lain dengan KUFC seperti menerapkan unsur teknologi baru seperti penggunaan Augmented Reality (AR) atau kecerdasan buatan (AI) dalam dunia bola sepak,” katanya.

Dalam majlis sama, KUFC turut membuat pengumuman melantik Hamada sebagai penasihat terhormat.

Sumber: BERITA HARIAN