PADA Rabu lalu, negara mencipta sejarah apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di negara ini.
Suntikan itu dilakukan sekitar pukul 2.40 petang, di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Presint 11 dan disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan.
Bagaimanapun, timbul isu berhubung jarum vaksin dikatakan berubah sehingga ramai membuat spekulasi tidak benar mengenai suntikan diterima perdana menteri.
Menjelaskan mengenai kekeliruan itu, Pegawai Perubatan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, Dr Fahkrul Radzi memberitahu ia adalah prosedur biasa di mana jarum yang digunakan untuk menyedut vaksin ke dalam picagari akan dibuang.
Jelasnya, kebiasaannya petugas akan mengambil jarum yang baharu untuk mengekalkan steriliti atau kebersihan sebelum dicucuk ke lengan penerima vaksin.
“Jarum yang sebelumnya sudah digunakan untuk dicucuk pada botol, pada botol itu kita tidak tahu sama ada terdapat kuman… Jadi takkan nak cucuk pada kulit menggunakan jarum yang sama cucuk pada botol,” katanya di Twitter.
Dr Fakhrul Radzi turut menjelaskan, setiap jarum mempunyai saiz berbeza, malahan jarum digunakan untuk menyedut cecair vaksin daripada botol adalah lebih besar.
“Anda mahu ke kami suntuk pakai jarum yang besar? Sudah tentu tidak, kan? Jarum yang dicucuk ke kulit biasanya kecil dan halus berbanding jarum digunakan untuk sedut daripada botol.
“Kita sebenarnya takut pada benda yang kita tidak tahu. Jadi apa yang perlu kita buat, cari (maklumat) dan ambil tahu, Belajar daripada orang yang tahu dan banyakkan meneliti sebelum beri komen melulu,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Perubatan Klinik Ajwa Shah Alam, Dr. Arisman Abdul Rahman pula menjelaskan situasi ini adalah normal dan biasa dilihat oleh ibu bapa yang menemani bayi kecil mereka ketika menerima suntikan vaksin di klinik-klinik.
Kebiasaannya, jururawat atau doktor akan melakukan beberapa proses sebelum suntikan dilakukan;
1. Ambil jarum dengan saiz lebih besar untuk menarik masuk ubat dari ampoule/vial vaksin. Kenapa? Sebab lebih cepat dan mudah prosesnya menarik ubat untuk masuk ke dalam picagari (syringe) dengan cepat.
2. Ada yang pakai warna biru (saiz 23G), ada yang pakai lebih besar seperti warna hijau (saiz 21G)
3. Selepas ubat dah masuk dalam picagari (syringe), kemudian jururawat atau doktor akan tukarkan jarum sahaja kepada saiz yang lebih sesuai iaitu tempat suntikan dan saiz badan individu. Picagari bagaimanapun tidak ditukar.
4. Jika suntikan pada bahagian punggung orang dewasa yang lebih tebal isi kulit dan lemak, maka doktor akan tukarkan kepada jarum warna biru juga (jarum berbeza dengan jarum yang dipakai pada awalnya) ataupun jarum berwarna hijau.
5. Jika nak suntik pada bahagian lengan, jarum biru pun boleh digunakan jika seseorang berbadan besar, tetapi kebanyakkan akan menggunakan jarum berwarna oren kecil bersaiz 25G.
6. Setiap saiz jarum berbeza diameter dan panjangnya. Ini sangat penting dalam memilih jenis suntikan yang diberikan. Begitu juga apabila jururawat atau doktor ingin mengambil darah pesakit.
7. Selain itu, antara sebab penting perlu tukar jarum tersebut adalah untuk mengelakkan pencemaran bersilang atau cross infection daripada permukaan ampoule/vial kepada kulit dan lapisan bawah kulit.
Sumber: mStar