KOTA BHARU – Kematian keluarga bayi lelaki itu dipercayai akibat kecuaian ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan.
Ibu mangsa, Rosilawati Ismail, 26 tahun berkata tindakan akan diambil sebagai pembelaan terhadap kematian anak tunggalnya, Muhammad Hilman Firdaus Muhammad Hilmi yang berusia dua bulan pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, pihaknya sudah melantik peguam dan menyerahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Dakwanya terdapat beberapa perkara yang menyebabkan beliau tidak berpuas hati termasuk ketika anaknya menerima rawatan susu yang diberikan hampir tamat tempoh selain anaknya diberi ubat tidur tanpa kebenaran.
“Apa yang saya lakukan ini adalah demi pembelaan kepada kematian anak saya dan ketidakpuasan hati terhadap pihak hospital yang merawat anak.
“Walaupun pihak hospital sendiri sudah bertemu dengan kami untuk menjelaskan apa yang berlaku, namun kami tidak berpuas hati terhadap penjelasan yang diberikan.
“Malah, sehingga kini punca kematian anak belum dimaklumkan kepada kami dan pihak hospital memaklumkan perlu menunggu sehingga dua bulan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menceritakan apa yang berlaku terhadap anaknya, Rosilawati mendakwa, anaknya mengalami cirit birit pada 5 Februari dan dibawa ke HRPZ II sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
“Anak saya kemudiannya semakin sembuh pada 8 Februari dan dipindahkan ke wad biasa. Ketika berada di wad berkenaan, doktor meminta saya menukar susu anak yang dibekalkan pihak hospital dengan alasan anak saya mengalami alahan.
“Saya dapati tarikh luput pada tin susu berkenaan bertarikh 12 Februari iaitu hampir tamat. Malah, ketika saya membancuh susu berkenaan, ia meragukan seolah-olah sudah basi.
“Apabila saya bertanyakan kepada doktor yang merawat anak saya berkaitan isu itu, doktor memaklumkan susu itu masih boleh digunakan sekiranya ia belum berkulat,” katanya yang tampil membuat laporan polis pada Sabtu lalu.
Beliau berkata, anaknya kembali tidak sihat selepas beberapa hari sebelum diberi ubat tidur tanpa kebenaran.
“Pada masa sama, anaknya perlu berpuasa selama lima hari bermula 15 Februari dengan alasan perut anak perlu direhatkan sehingga menyebabkan anaknya sering menangis kelaparan.
“Disebabkan tidak berpuas hati, saya berurusan dengan pihak hospital untuk memindahkan anak ke hospital lain, namun tidak dibenarkan sebelum anaknya mengalami demam panas.
“Pada tengah hari 18 Februari, saya sempat membuat panggilan video dengan kakak yang menjaga anak dan ketika itu saya melihat anak menangis dengan muka yang lemah sebelum anak saya disahkan meninggal dunia jam 4.30 petang pada hari berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, hancur luluh hatinya mengenangkan apa yang terjadi terhadap anaknya dengan luka pembedahan yang dia alami ketika bersalin pun belum lagi sembuh.
Jabatan Kesihatan Kelantan akan menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap semua pihak yang terbabit dalam kes kematian bayi berusia dua bulan Jumaat lalu, yang didakwa berlaku kecuaian ketika menerima rawatan.
Sumber: BERITA HARIAN