Keluarga huni rumah rakit ditawarkan diami chalet

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA BERANG: Keperitan menjalani kehidupan di atas rumah rakit usang di Tasik Kenyir, di sini bertukar ceria buat enam sekeluarga apabila mereka ditawarkan mendiami chalet secara percuma selama tiga bulan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris berkata, keluarga Samsuddin Khalid, 45, boleh mendiami chalet itu yang kini dijadikan sebagai rumah pekerja di Kampung Lawit.

Menurutnya, ini berikutan pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mereka di Kampung Basung, di sini, dijangka siap pada Oktober depan.

“Kita jangka kerja-kerja pembinaan rumah PPRT bermula Ogos depan membabitkan peruntukan sebanyak RM 60,000 dan akan siap dalam tempoh kira-kira dua bulan.

“Demi kebajikan, keselamatan dan keselesaan Samsuddin, isterinya Norfarhana Yusop, 30, dan empat anak berusia lapan bulan hingga 11 tahun, mereka ditawarkan menginap di chalet milik Ketengah sementara menunggu kerja pembinaan disiapkan,” katanya yang menyantuni Samsuddin di rumah rakit di Tasik Kenyir, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Berhad (KHSB) Mohd Zaid Sulaiman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong Datuk Rozi Mamat dan Pegawai Pembangunan Parlimen Hulu Terengganu Mohd Zawawi Ismail.

Dalam pada itu, Razali turut bersetuju menyumbangkan tablet kepada tiga anak perempuan Samsuddin yang bersekolah bagi memudahkan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sebelum ini, Portal Harian Metro telah melaporkan keluarga itu menjadikan rumah bot uzur dan usang di Tasik Kenyir menjadi sebagai “syurga kecil” mereka sejak 10 tahun lalu.

Samsuddin yang juga pemandu rumah bot dilaporkan memilih tinggal di rumah bot dan rakit dengan bergantung sepenuhnya kepada air tasik untuk kegunaan harian.

Ini berikutan Samsuddin hilang punca pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) sekali gus tidak mampu membaiki enjin dan beberapa struktur rumah botnya yang rosak sejak Februari tahun lalu.

Sumber: Harian Metro