Keluarga Malaysia mampu bawa negara berdaya saing

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah negara akan terus berdaya saing dan mencapai kemajuan lebih tinggi jika konsep Keluarga Malaysia yang inklusif dan adil digabungkan dengan semangat sebuah keluarga.

Seri Paduka bertitah, semangat Keluarga Malaysia juga boleh membawa kepada penyatuan dalam sebuah negara seperti Malaysia, yang mempunyai beraneka kepelbagaian.

“Inisiatif Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini amat menarik perhatian beta. Benar bagai dikata, kita semua adalah diibaratkan sebagai sebuah keluarga,” titah Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah pelaksanaan semua program di bawah konsep Keluarga Malaysia hendaklah diteliti, diperhalusi dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Pandangan serta cadangan rakyat beta juga hendaklah diterima oleh agensi pelaksana dengan hati yang terbuka dan jiwa yang besar,” titah Seri Paduka.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong disambut pada 7 Jun lepas, namun tiada istiadat sambutan diadakan berikutan penularan COVID-19.

Idea Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ucapan sulungnya, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan dan membentuk kerajaan baharu pada Ogos lepas.

Al-Sultan Abdullah juga menyambut baik Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia; Makmur Sejahtera’ yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt lepas selain menzahirkan penghargaan terhadap Rancangan Malaysia ke-12 yang diluluskan dengan penyertaan Ahli Parlimen secara bersama.

“Harapan beta peruntukan belanjawan kerajaan hendaklah diurus tadbir dengan penuh ketelitian agar dapat memberi impak optimum kepada negara, khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan sosioekonomi serta taraf hidup rakyat beta,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka juga bertitah negara terus mencatatkan prestasi pertumbuhan ekonomi yang semakin baik dengan perkembangan ekonomi 7.1 peratus pada separuh pertama tahun 2021 sekali gus menunjukkan Malaysia berada di landasan betul dalam fasa pemulihan ekonomi.

“Prestasi baik ini hendaklah diteruskan, pada masa sama kerajaan juga perlu terus meneroka strategi baharu yang berinovatif dan merangka bidang pertumbuhan baharu bagi mencapai matlamat pembangunan lestari,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong dalam pada itu menitahkan kerajaan supaya segera merangka strategi dan pendekatan yang lebih berkesan untuk menangani isu kerugian sebagaimana dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 yang diterbitkan baru-baru ini.

“Kerajaan perlu segera merangka strategi dan pendekatan yang lebih berkesan untuk menangani perkara itu agar ia tidak berulang lagi,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan sembah junjungan kasih kepada Raja-Raja Melayu atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Seri Paduka turut menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerajaan, anggota pentadbiran, penjawat awam, anggota pasukan keselamatan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan serta rakyat yang bertungkus lumus dengan cara masing-masing dalam memartabatkan negara.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat atas sembah ucapan tahniah dan doa bersempena Hari Keputeraan rasmi beta,” titah Seri Paduka yang turut berdoa supaya Malaysia terus dilimpahi keamanan, kemakmuran serta dijauhi daripada bencana dan wabak khususnya COVID-19.

Sumber: Berita Harian