KOTA BHARU – Kesedihan satu keluarga dari Kampung Pulau Melaka di sini, yang kehilangan ketua keluarga akibat kemalangan pada hari kedua Aidilfitri lalu, sedikit terubat apabila menerima kunjungan Skuad Perkeso Prihatin.
Kasmara Kadir, 48, iaitu balu kepada pemandu bas ekspres, Nik Nordin Jusof, 51, menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 yang disampaikan oleh Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan Nora Yaacob.
Menurut Kasmara, suaminya terlibat dalam kemalangan di KM21.8 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran kampung Sungai Ikan Kuala Nerus pada 21 April lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada 23 April ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nurzahirah, Kuala Terengganu.
Kemalangan tersebut turut meragut nyawa pasangan suami isteri yang menaiki kereta Perodua Myvi.
Kasmara yang mempunyai lima anak berumur antara 13 hingga 28 tahun, berkata sambutan hari raya kali ini amat suram kerana di saat orang lain sedang bergembira, keluarganya pula dalam keadaan berduka.
“Kami sekeluarga melahirkan kesyukuran dan berterima kasih pada pihak PERKESO Kelantan yang sudi hadir ke rumah membawa berita baik dan semangat baru buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.
Sementara itu, Nora berkata susulan mendapat maklumat kematian pemandu bas itu pihaknya segera menghubungi majikan Allahyarham Nik Nordin dan kes telah diselesaikan pada hari sama kematian mangsa.
“Kunjungan prihatin untuk menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan ia akan disusuli bayaran Pencen Penakat secara berkala setiap bulan untuk seumur hidup balu dan dua anaknya sehingga mencapai umur 21 tahun dengan kadar pencen bulanan RM1,310 sebulan.
“Saya percaya ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan keluarga ini dalam meneruskan hidup tanpa ketua keluarga,” katanya.
– BERNAMA