PHNOM PENH – Muhammad Izzul Irfan Marzuki menjelmakan pingat emas ketiga buat kem silat negara di temasya Sukan SEA Kemboja 2023 hari ini selepas memenangi kelas putra bawah 65 kilogram (kg).
Izzul berjaya ‘menjinakkan’ lawan dari Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada 39-33 pada aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar dan ia secara tidak langsung melengkapkan misi balas dendam pesilat dari Terengganu itu selepas ditewaskan pesaing sama di Kejuaraan Pencak Silat di Kashmir, India, Oktober tahun lalu.
“Saya lihat Kadek berada dalam tekanan selepas diberikan amaran oleh wasit… dia menggunakan kaki kirinya lebih daripada kaki kanannya yang cedera, dia tidak dapat mengimbangkan diri dengan baik jadi fokus saya tertumpu untuk menyerang kaki kirinya dan strategi saya membuahkan hasil untuk meraih kemenangan,” kata Izzul.
“Saya pernah dikalahkan Kadek di Kashmir, jadi saya tahu corak permainannya dan saya benar-benar mahu menewaskan dia.”
Untuk rekod, pasukan silat kebangsaan hanya meraih dua emas di Sukan SEA Vietnam 2021 dan susulan itu, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) terus melakukan proses rombakan yang nyata membuahkan hasil di Phnom Penh.
Setakat ini, kem silat sudah menuai empat emas di Kemboja dengan yang pertama menerusi gandingan kembar, Muhammmad Danial Azray Noorazizan dan Muhammmad Danial Azrol dalam kelas ganda putra pada Ahad lalu.
Pesilat wanita negara, Norsyakirah Muksin dan Nor Farah Mazlan kemudian meneruskan momentum berkenaan masing-masing menerusi kelas putri bawah 45kg dan bawah 50kg, hari ini.
Dalam pada itu, Izzul berkata, generasi baharu pesilat sudah bersedia untuk mengisi kekosongan ditinggalkan senior mereka sebelum ini seperti Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir.
“Satu prestasi yang baik daripada kami tetapi kami perlu melakukan sesuatu yang lebih lagi pada masa depan… saya tahu ia akan menjadi lebih sengit selepas ini kerana ia sentiasa sukar untuk mempertahankan pingat emas,” katanya.
– BERITA HARIAN