KEMAS, Yayasan Pahang Meterai MOA, Sasar Lahir 100,000 Huffaz Cilik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Yayasan Pahang menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi melaksanakan program Tabika Pra-Tahfiz Kemas, yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis memorandum berkenaan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, program Tabika Pra-Tahfiz Kemas bertujuan memperkasakan lagi Modul Penghayatan Pendidikan Islam (PPI), sekali gus melahirkan generasi celik Al-Quran.

“Menyedari hakikat ini, patik selaku wakil Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), mengambil inisiatif untuk mewujudkan program Tabika Pra-Tahfiz Kemas dan merupakan salah satu Hala Tuju Strategik (HATS) KKDW 2023 dalam Membangun Modal Insan Desa secara komprehensif bagi memperkasakan Pendidikan Al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia.

“Modul Pra-Tahfiz Tabika Kemas ini mensasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 1,500 kanak-kanak yang mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha serta bersedia masuk ke Tahun Satu menjelang akhir sesi persekolahan 2023.

“Dengan ini patik menyembah maklum, menjelang 2026, Kemas akan melahirkan seramai 100,000 huffaz cilik. Insya-Allah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini pada Selasa.

Berucap lanjut, Ahmad Zahid berkata pendidikan Al-Quran merupakan teras utama dalam kejayaan kanak-kanak beragama Islam, selain kemahiran sedia ada yang diperlukan.

Tambah beliau, pertukaran memorandum itu antaranya melibatkan penggunakan Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP); khidmat nasihat; perakuan Sijil Kompetensi kepada para pengajar; perakuan Sijil Tamat Modul kepada pelajar Tabika Kemas; penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Kemas-Yayasan Pahang; serta penyediaan tenaga pengajar.

Kerjasama itu juga, kata Ahmad Zahid melibatkan Yayasan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (Pinta) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membantu dalam memberikan latihan kemahiran asas Al-Quran seperti tajwid dan mahraj kepada pendidik Tabika Kemas secara berkala di peringkat Parlimen atau di seluruh negara.

“Selain itu, Program Training of Trainers (ToT) kepada pendidik masyarakat Tabika Kemas turut dirangka meliputi Kursus Modul Hafazan bersama Yayasan Pahang, Kursus Dalam Cuti bagi saringan dan kemahiran asas al- Quran bersama Yayasan Pinta, dan Kursus Lanjutan Kemahiran al-Quran secara berterusan bersama Yayasan Pinta,” kata Ahmad Zahid.

Melalui pelan tindakan mulai 2024 hingga 2026 bagi melaksanakan kursus-kursus tersebut, Ahmad Zahid berkata dijangka menjelang 2026, sebanyak 9,500 orang pendidik masyarakat Tabika Kemas akan diberikan pendedahan tentang Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang oleh Yayasan Pahang dan menerima kursus asas serta lanjutan kemahiran Al-Quran oleh Yayasan Pinta.

– AWANI