Kota Bharu: Kelantan mencatatkan sehingga lapan kematian sehari akibat Covid-19 dalam tempoh sebulan susulan kemunculan varian Delta dalam komuniti.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah kematian meningkat berkemungkinan disebabkan aktiviti kunjung mengunjung ketika sambutan Hari Raya Aidiladha lalu.
Katanya, sebelum Hari Raya Aidilfitri, kadar kematian yang dicatatkan adalah antara dua hingga tiga kematian sehari dan kini ia meningkat sehingga sekali ganda.
“Saya menjangkakan kes harian Covid-19 di Kelantan akan reda apabila imuniti kelompok sudah mencapai 80 peratus dan sekiranya tidak ada varian baharu.
“Sekarang kita mengesan 28 varian daripada sampel yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) namun mengikut kepada trend yang kita ada, perebakan yang banyak adalah daripada varian Delta yang dominan di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sidang Media Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) Bagi Januari hingga Jun 2021 yang disempurnakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Dewan Serbaguna Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Dr Zaini berkata, kes harian Covid-19 di Kelantan meningkat selepas Hari Raya Aidiladha dan kini mencatat empat angkat selain kadar kebolehjangkitan (Rt) juga melebihi 1.0 dalam tempoh dua minggu.
“Peningkatan kes di Kelantan adalah disebabkan beberapa faktor termasuk virus sudah ada dalam komuniti yang menyebabkan wujudnya saporadik dan kluster di negeri ini.
“Jadi masyarakat perlu kekal cakna dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pada masa yang sama kita juga sedang merancakkan proses vaksinasi di Kelantan.
“Sehingga kini, sebanyak 35 peratus rakyat di negeri ini sudah mendapatkan suntikan dos pertama dan lebih kurang 23 peratus sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata bulan ini Kelantan akan menerima bekalan vaksin sebanyak 800,000 dos daripada yang dijanjikan sekali gus dengan peningkatan bekalan vaksin itu diharap dapat menyuntik lebih ramai rakyat dan mempercepatkan proses vaksinasi.
“Kita mensasarkan Oktober ini dapat menyuntik sehingga 80 peratus daripada rakyat Kelantan.
“Dalam masa sama, kita juga berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang meminjamkan sebahagian bekalan vaksin mereka kepada Kelantan untuk proses vaksinasi,” katanya.
Katanya, kapasiti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam termasuk bagi program outreach dan juga klinik swasta setakat ini mencecah sehingga 33,000 sehari.
“Dalam tempoh sebulan kita mampu menyuntik sekitar 1 juta penerima vaksin dan ini bermakna sekiranya bekalan vaksin melebihi 1 juta diterima di Kelantan maka kita akan sediakan PPV mega, namun sekiranya kurang dari 1 juta, kita hanya akan guna PPV sedia ada,” katanya.
Sumber: My Metro