KOTA BHARU – Pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mengambil pendekatan terbuka mengesan maklumat kelahiran berhubung insiden tertukar pasangan bayi kembar kira-kira 20 tahun lalu.
Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, kejadian itu amat mengejutkan yang belum pernah dilalui oleh hospital berkenaan.
Katanya, pihaknya bagaimanapun berusaha mencari rekod dokumen yang berkaitan untuk meneliti perkara tersebut sebelum membuat sebarang rumusan ataupun pengesahan terhadap insiden itu.
“Kejadian membabitkan jangka masa yang sangat lama, 20 tahun, jadi kami perlu meneliti segenap aspek sebelum buat sesuatu keputusan.
“Selainnya, pihak hospital juga terbuka sekiranya keluarga datang untuk berbicang untuk memudahkan urusan kes ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Tanjung Chat di sini pada Isnin.
Beliau berkata, secara asasnya, fail pesakit pediatrik disimpan selama 21 tahun sebelum dilupuskan, namun HRPZ II dilanda banjir besar pada tahun 2004 dan 2014 menyebabkan lebih 300,000 fail dilupuskan kerana rosak.
“Semasa tahun 2001, rekod pesakit dibuat secara fizikal namun kami akan usaha juga bagi mengesan menerusi kaedah lain.
“Kami menerima dengan terbuka jika keluarga ingin bertemu pihak hospital,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan dua keluarga terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lalu, rupa-rupanya tertukar dipercayai selepas dilahirkan di sebuah hospital di Kota Bharu pada 2001.
Kejadian hanya disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, ‘kembarnya’ Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, pada September tahun lalu selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.
SUMBER: Sinar Harian