Kembara Makrifat Ibnu Haitham

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Nama Ibnu Haitham mungkin masih tertanam dalam ingatan anda bagi yang menjadikan ilmu sebagai sahabat sejati. Beliau merupakan tokoh Islam disegani bukan sahaja kerana ilmu yang dimiliki tetapi pengorbanan suci demi agama.

Ibnu Haitam atau nama sebenarnya ialah Abu Ali Muhammad bin al-Haitham al-Basri Al-Misri. Beliau sangat terkenal sehingga dunia Barat menggelarkannya sebagai Alhazen, Avennathan dan Avenetan.

Beliau sangat mahir dalam ilmu Matematik, Astronomi, Mantik, Falsafah dan Fizik. Beliau digelar Bapa Optik Moden disebabkan kehebatan beliau lebih menyerlah dalam bidang optik.

Ibnu Haitham dibesarkan di Basrah dan Baghdad. Pada masa tersebut, dua kota tersebut telah menjadi pusat ilmu pengetahuan. Di dua bandar inilah menjadi saksi kepadanya memulakan kehidupan dengan mendapatkan pendidikan awal hingga dilantik sebagai pegawai pemerintah di bandar kelahirannya.

Beliau kemudiannya telah mengembara dan sampai ke Ahwaz dan Baghdad bagi melanjutkan pengajian dan menumpukan perhatian dalam bidang penulisan. Keintektualan beliau begitu terserlah sejak dari kecil lagi.

Beliau adalah salah seorang tokoh cendekiawan sains yang termasyhur dengan ketinggian ilmunya di Tanah Arab dan di benua Eropah pada zamannya.

Atas faktor itulah, beliau telah diundang ke Mesir oleh pemerintah Bani Fatimiyah di Mesir pada waktu itu, Khalifah Al-Hakim bin Amirillah (996-1021 Masihi).

Tujuannya mahu Ibnu Haitham membantu menangani banjir Sungai Nil yang kerap melanda di negeri itu pada setiap tahun.

Meskipun demikian, kekurangan peralatan canggih pada masa itu menyebabkan Ibnu Haitham tidak dapat mewujudkan rancangan takungan raksasa.

Hilang Ingatan

Untuk melindungi diri beliau daripada kemurkaan pemerintah, tokoh itu telah meninggalkan pekerjaan tersebut dengan berpura-pura hilang ingatan.

Kesannya, beliau telah dikenakan hukuman tahanan dalam rumah. Sewaktu dihukum, beliau menumpukan perhatian kepada usaha-usaha saintifik sehinggalah saat kematiannya.

Ketika Sultan Al-Hakim mangkat pada tahun 1021, Ibnu Haitham kembali normal dan aktif dalam kegiatan ilmu.

Beliau kemudian berlindung dan mengabdikan diri di Universiti Al-Azhar dan terus menyambung usaha ilmiahnnya dalam bidang saintifik. Beliau juga turut menterjemahkan buku-buku matematik dan falak ke bahasa Arab.

Sebelum itu, beliau telah pergi ke Andalusia (Sepanyol) yang merupakan kiblat ilmu pengetahuan Eropah pada masa itu. Di sana, beliau mempelajari optik.

Pada tahun terakhir hayatnya, beliau kembali ke Kaherah sebagai ahli Matematik termahsyur. Beliau meninggal dunia ketika berusia 74 tahun.

Sumber: SINAR HARIAN