Kemenangan Hadiah Buat Penyokong Harimau Malaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan Gon menyifatkan kejayaan menundukkan Singapura 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi sebagai antara persembahan terbaik skuad Harimau Malaya pada saingan Piala AFF 2022.

Pengendali dari Korea Selatan itu turut mengakui sokongan hebat lebih 60,000 penyokong menjadi kekuatan buat skuad Harimau Malaya hingga berjaya meraih kemenangan bergaya.

Katanya, kejayaan mengalahkan Singapura dan sekali gus melangkah ke separuh akhir menjadi hadiah buat seluruh penyokong Harimau Malaya.

“Terima kasih kepada seluruh penyokong Malaysia terutama yang datang ke stadium dan menyokong kami. Ia satu kuasa yang hebat buat kami yang berjuang demi nama Malaysia.

“Ini salah satu persembahan terbaik kami, paling penting semangat dan kerjasama berpasukan selain kami mendapat sokongan penuh daripada penyokong,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kemenangan ke atas Singapura menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan kedua dengan mengumpul sembilan mata, satu mata di belakang Vietnam selaku juara.

Sebagai naib juara, skuad Harimau Malaya akan berdepan juara Kumpulan A, Thailand di separuh akhir dengan aksi pertama akan berlangsung di Stadium Nasional, Sabtu ini sebelum aksi kedua di Bangkok, 10 Januari.

Sumber : BERITA HARIAN