LIVERPOOL – Virgil van Dijk berkata Liverpool terlalu dimanjakan dengan kejayaan sepanjang lima tahun lalu dan kemerosotan musim ini mengejutkan semua orang.
Liverpool tercicir mata lagi dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila diikat tanpa jaringan oleh Crystal Palace Sabtu lalu.
Ia berlaku hanya beberapa hari selepas skuad kendalian Jurgen Klopp dibelasah 5-2 oleh Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
“Saya ingin layak ke Liga Juara-Juara Eropah kerana saya mahu bermain di Liga Juara-Juara Eropah. Sepanjang empat atau lima tahun lalu kami dimanjakan dengan apa yang dicapai.
“Kami memenangi semua trofi yang ada. Kami mengharungi musim lalu dengan empat kejuaraan berada di depan mata sehingga pada hari terakhir, jadi musim ini mengejutkan semua orang,” kata Van Dijk.
Liverpool bakal menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi, selepas hampir merangkul empat kejuaraan musim lalu tetapi dinafikan dua daripadanya sehingga pada hari terakhir.
Harapan mereka untuk memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris kedua di bawah bimbingan Klopp musnah musim ini apabila kempen bermula hambar sebelum rehat Piala Dunia, manakala Manchester City menamatkan misi mereka untuk mengekalkan Piala Liga.
Brighton menyingkirkan mereka dalam saingan Piala FA pada pusingan keempat, dan peluang untuk bangkit daripada defisit 5-2 di Bernabeu dilihat tipis.
Van Dijk menikmati pelbagai kejayaan bersama Liverpool sejak menyertai kelab itu pada Januari 2018.
Selepas tewas pada final Liga Juara-Juara Eropah pada tahun itu, Liverpool muncul juara pada musim berikutnya dengan menewaskan Tottenham 2-0.
Pada musim 2019-20, mereka mengakhiri kemarau 30 tahu kejuaraan Liga Perdana Inggeris, mengatasi Man City kendalian Pep Guardiola yang sedang memburu hatrik.
– BERITA HARIAN