Kempen anti sawit EU tidak jejas pasaran sawit negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Nerus: Sekatan Kesatuan Eropah (EU) ke atas minyak sawit Malaysia tidak menjejaskan pasaran sawit negara yang berkembang pesat di seluruh dunia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan tidak menganggap usaha EU untuk memboikot minyak sawit adalah satu kerugian besar kepada industri sawit negara.

Beliau berkata, EU menentang sawit daripada sudut penggunaan biodiesel tetapi mereka tidak boleh menghalang penggunaan minyak sawit dalam kehidupan harian.

“Mana ada satu bahan pencuci badan, pencuci rumah atau makanan seperti coklat yang tidak menggunakan minyak sawit.

“(Minyak) sawit tidak dapat dipisah oleh manusia hari ini dan saya mencabar mana-mana negara yang memboikot sawit boleh mengambil minyak lain yang lebih mahal.

“Minyak sawit negara murah dan berkhasiat. Saya yakin apa yang kita ada dan pada masa yang sama kita besarkan lagi pasaran kita,” katanya selepas merasmikan Gerobok Amal Kongsi Rezeki anjuran Yayasan Amal Malaysia di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail.

DR Mohd Khairuddin membeli pelbagai barangan keperluan asas untuk diletakkan di Gerobok Rezeki yang berkonsepkan sumbangan dari rakyat kepada rakyat pada Program Perasmian Gerobok Amal Kongsi Rezeki. FOTO Zaid Salim
DR Mohd Khairuddin membeli pelbagai barangan keperluan asas untuk diletakkan di Gerobok Rezeki yang berkonsepkan sumbangan dari rakyat kepada rakyat pada Program Perasmian Gerobok Amal Kongsi Rezeki. FOTO Zaid Salim

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, banyak negara menunjukkan minat untuk membeli minyak sawit negara dan Iran menjadi negara terbaharu menyatakan minat untuk membeli sebanyak satu juta tan selain Uzbekistan.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan lawatan ke dua negara berkenaan pada September ini bagi membincangkan perkara itu.

“Selain Iran dan Uzbekistan, terdapat beberapa negara di benua Afrika dan Asia Tengah menunjukkan minat untuk membeli minyak sawit negara,” katanya.

Sebelum ini, beliau menyatakan kempen anti minyak sawit ke atas Malaysia hanya gangguan jangka pendek dan negara perlu menilai pasaran semakin berkembang pesat di seluruh dunia.

Pada 17 Mac lalu, Malaysia mengadakan sesi konsultasi secara maya bersama EU berhubung tindakan undang-undang ke atas kesatuan berkenaan berkaitan isu yang dikaitkan dengan diskriminasi kepada industri sawit negara.

Januari lalu, Malaysia memulakan tindakan undang-undang ke atas EU berikutan kempen berkenaan.

Malaysia menyertai Indonesia sebagai negara yang memfailkan tindakan undang-undang terhadap EU susulan tindakan diskriminasi blok ekonomi itu terhadap produk keluaran kedua-dua negara menerusi kempen anti minyak sawit.

Sumber: My Metro