Kota Bharu: Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada ahlinya untuk meringankan beban ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
Pengerusinya Shahnun Hanif Abdullah berkata, wang tunai yang diberikan antara RM150 hingga RM300 setiap seorang.
“Wang tunai berkenaan dikumpulkan oleh kelab hasil sumbangan pelbagai pihak dan disumbangkan kepada ahli yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Ada juga dalam kalangan ahli sebelum ini disahkan positif Covid-19 dan kontak rapat dengan pesakit sehingga perlu menjalani tempoh kuarantin di rumah,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Menurutnya, sumbangan itu juga bagi menghargai jasa ahli Kemudi sebagai petugas media yang terus bekerja mencari bahan berita untuk menyalurkan maklumat tepat kepada orang ramai.
“Sumbangan itu diharap akan memberi semangat kepada ahli untuk bekerja dan pada masa sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan tugas,” katanya.
Sumber: My Metro