Kenaikan Harga Hotel di Tanah Suci di Luar Kawalan Kerajaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Malaysia akan membangkitkan isu kenaikan mendadak kadar harga hotel di Makkah dan Madinah pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang berlangsung di Arab Saudi.

Sambil menegaskan ia di luar kawalan kerajaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na’im Mokhtar, berkata ketika ini beliau berada di negara itu bagi menghadiri persidangan berkenaan.

Katanya, selain berbincang mengenai isu berkaitan pengurusan haji dan umrah beliau juga akan mengemukakan isu kenaikan kos berkenaan kepada Menteri Haji Arab Saudi.

“Kami melihat situasi ini adalah impak daripada kenaikan kos di Arab Saudi. Ia tentunya memberi kesan bukan setakat kepada jemaah umrah Malaysia, bahkan kepada jemaah negara lain.

“Walau bagaimanapun saya mengharapkan agensi umrah dapat mempertimbangkan ruang dan kaedah terbaik supaya kenaikan kos keseluruhan yang dikenakan tidak melampau sehingga membebankan bakal jemaah,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, bakal jemaah umrah diminta bersiap sedia sekiranya dimaklumkan berlaku kenaikan harga pakej umrah oleh agensi pelancongan masing-masing pada saat akhir sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci.

Naib Presiden Haji dan Umrah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abdul Razak, dilaporkan berkata kenaikan harga itu berpunca daripada kenaikan mendadak kadar harga hotel di Kota Makkah dan Madinah pada masa ini.

Katanya, peningkatan harga hotel itu mengakibatkan harga pakej umrah yang sudah ditetapkan oleh segelintir agensi pelancongan, terpaksa dinaikkan.

Sumber : BERITA HARIAN