Kenali Imam Mahdi Sebenar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Di akhir zaman, akan lahir seorang Imam al-Mahdi bagi memberi petunjuk kepada manusia dan tujuan sebenar beragama. Mutakhir ini, kita banyak diperlihatkan beberapa sosok manusia yang mula mengaku bahawa dia adalah Imam al-Mahdi.

Tidak sekadar pengakuan yang biasa, bahkan mereka yang taasub mula menjadikannya sebagai ‘tuan’ sehingga Imam al-Mahdi palsu memiliki ramai pengikut yang sesat.

Pengakuan sesetengah manusia sebagai Imam al-Mahdi ini bukan hanya berlaku pada zaman ini sahaja, bahkan telah dikenali sejak zaman berzaman sebelum ini lagi. Di antara individu yang pernah membuat dakwaan bahawa dia adalah al-Mahdi ialah Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah yang merupakan pengasas Daulah Fathimiyah.

Secara asasnya, kewujudan individu ini adalah kerana mereka yakin bahawa akan turunnya Imam al-Mahdi. Namun disebabkan ketaasuban, mereka dengan sendirinya melantik diri mereka sebagai al-Mahdi akhir zaman. Imam al-Mahdi merupakan manusia yang akan muncul di akhir zaman sebagaimana hadis yang menceritakan perihal beliau.

Peranan beliau adalah menguasai keseluruhan bangsa Arab sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud:  “Al-Mahdi daripadaku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Al-Mahdi ialah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib RA. Di dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib.

Sebahagian ulama pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus. Pendapat paling tepat ialah yang diriwayatkan daripada Abu Nu’aim daripada Hammad daripada Ali bin Abi Thalib RA bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah.

Menurut al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah: Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya.

Diriwayatkan daripada Thauban RA beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:  “Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi.”  (Hadis Riwayat al-Hakim)

Berdasarkan perbahasan ulama, terdapat tanda-tanda yang terdapat pada Imam Al-Mahdi. Antaranya di bahagian bahu beliau terdapat tanda yang sama pada bahu Nabi SAW. Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa AS dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.

Pada zaman kekuasaan Imam Al-Mahdi, penduduk bumi akan merasa cukup dan banyak keberkatan dari bumi akan keluar. Keistimewaan beliau juga ialah apabila menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.

Di antara sifat-sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi adalah seperti berikut:

• Beliau merupakan seorang anak Adam.

• Dahinya luas dan hidungnya mancung.

• Kedua-dua matanya bercelak.

• Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.

• Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.

• Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuhnya seperti tubuh orang Israel.

• Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.

• Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW.

Al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam kitab al-Fitan wal-Malahim, berkata: “Aku menyangka bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku ketika turunnya Nabi Isa AS.

Ini berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Isa bin Maryam turun lalu berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi): Marilah solat bersama kami.

Lalu Isa berkata: “Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini.” (Hadis Riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pandangan daripada ulama berkaitan kemunculan Imam al-Mahdi:

Pandangan pertama: Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah SWT utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman.

Ibn Khaldun menjelaskan bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya kelak akan munculnya seorang lelaki daripada kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan dan diikuti oleh kaum Muslimin dan beliau akan menguasai kerajaan Islam.

Beliau dinamakan sebagai Al-Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al-Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya

Pandangan kedua: Mereka yang menolak kewujudan al-Mahdi dan menafikan kemunculannya pada akhir zaman disebabkan kelemahan dalam pemahaman terhadap hadis akhir zaman.

Salah satu tanda kiamat besar yang akan berlaku kelak adalah Imam al-Mahdi. Kepercayaan terhadap kewujudan beliau adalah sebagaimana keimanan kita terhadap hari Kiamat yang akan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Sumber: HARIAN METRO