Berbalik kepada agama, setiap kejadian tuhan itu ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Sama seperti keadaan fizikal kita. Contohnya, kulit telapak tangan dan kaki akan mengecut sebaik ia terendam lama di dalam air, baik sewaktu berenang mahupun sedang mencuci pinggan umpamanya. Pernah kamu terfikir tentang semua ini?
Secara dasarnya, kulit manusia akan kecut menyerupai kismis apabila ia berinteraksi dengan air, lebih-lebih lagi untuk jangka waktu yang lama. Baik air bersuhu panas atau sejuk, rata-rata kita hairan namun menganggap perkara itu normal dan tiada berfaedah. Jom Wanista dedahkan menurut fakta sains dan ini sebabnya kulit tangan dan kaki kamu mengecut apabila terkena air.
Sebab Tak Tahan Sejuk Ke?
Biasanya mak-mak akan pekik kat kita, “Jangan mandi lama-lama kang kecut jari-jari tu”. Jadi apa yang dah sebati dengan pemikiran kita adalah air apabila bereaksi dengan tangan atau kulit kaki, ia akan buat jari-jemari kita jadi kecut. Kecutnya boleh dilihat apabila kulit tangan kelihatan seolah berkedut dan akan menjadi normal semula apabila suhu badan mulai seimbang kembali.
Kulit Kecut Tindak Balas Untuk Kecekapan & Keselamatan
Berkurun lalu, saintis mengandaikan kulit yang menjadi kecut adalah disebabkan tindak balas osmosis ke atas permukaan kulit itu sendiri namun, ia sebenarnya berkait rapat dengan sistem saraf manusia.
Oleh itu, seseorang yang lumpuh dan berendam di dalam air tidak akan mengalami sebarang kekecutan jari kerana saraf mereka sudah tidak berfungsi.
Pada tahun 2011, sebuah kajian telah diterbitkan dan saintis bersetuju kulit jari-jemari yang kecut sebenarnya berfungsi untuk memantapkan daya cengkaman manusia apabila berada di dalam air kerana kebarangkalian untuk kita cedera adalah besar dalam keadaan licin.
Erti kata lain, daya genggaman tangan juga semakin kuat andai kita perlu memegang barang dalam keadaan tangan basah, liku-kiku kecutan pada kulit itu akan bertindak seperti longkang yang menjadi laluan air supaya keadaan kulit lebih kering dan memudahkan pergerakan.
Sekarang dah jelas? Ciptaan tuhan memang menakjubkan. ❤
Sumber : Wanista