Ada beberapa dalil yang menyebut bahawa ayat pertama yang diturunkan ialah Al-Iqra’ yang menyebut mengenai anjuran membaca.
Namun pernahkan anda terfikir, mengapa surah Al-Fatihah berada pada awal al-Quran? Mengapa bukan surah Al-Iqra’ sendiri?
Pertama sekali kita perlu mengetahui bahawa proses pengumpulan al-Quran berlaku pada tiga zaman, iaitu zaman Rasulullah, zaman Abu Bakar dan pada zaman Uthman.
Rasm Uthmani yang kita gunakan hari ini adalah berdasarkan pengumpulan al-Quran pada zaman Saidina Uthman.
Perkara kedua adalah penyusunannya bersifat tauqifi. Penyusunan tauqifi adalah arahannya jelas daripada syarak. Ertinya, ia adalah wahyu yang diterima oleh Rasulullah secara terus.
Mengenai penyusunan surah Al-Fatihah, ulama berpendapat bahawa ia adalah berdasarkan penyusunan tauqifi, iaitu wahyu yang diterima oleh Rasulullah SAW.
Syeikh Al-Kirmanis menyebut, susun atur surah-surah ini adalah berdasarkan ketetapan Allah. Sebagaimana yang termaktub di Luh Mahfuz dalam tertib ini. Dalam menentukan perkara ini, Rasulullah SAW dikunjungi Jibril setiap tahun untuk menyemak bacaan al-Quran yang terkumpul. Dan Jibril telah melakukannya dua kali pada tahun kewafatan Nabi.”
Oleh itu, ulama bersetuju bahawa penetapan surah di dalam al-Quran adalah berdasarkan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.
Apakah keistimewaan surah Al-Fatihah sehingga ia boleh berada pada susunan pertama dan sebagai pembuka kepada al-Quran?
Susunan ayat pada surah Al-Fatihah sangat tertib dimulai dengan puji-pujian kepada Allah, kemudian pengakuan terhadap kekuasaannya serta menunjukkan tentang sikap kita terhadap kehidupan ini.
Surah Al-Fatihah merupakan salah satu bentuk doa yang sentiasa dibaca oleh umat Islam dalam setiap rakaat solat.
Keseluruhannya, surah ini meliputi semua perkara berkaitan aspek kehidupan kita di dunia ini. Oleh kerana itu, ia berada di awal surah dan menjadi rukun kepada solat. Istimewanya surah ini juga menjadi panduan dan pelengkap kepada umat Islam.
Sumber: 5 FUN FACT SURAH AL-FATIHAH & TZKRH.COM.MY