Kenapa Surah Al-Fatihah Berada Di Awal Al-Quran?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ada beberapa dalil yang menyebut bahawa ayat pertama yang diturunkan ialah Al-Iqra’ yang menyebut mengenai anjuran membaca.

Namun, pernahkah anda terfikir, mengapa surah Al-Fatihah berada pada awal Al-Quran? Mengapa bukan surah Al-Iqra’ sendiri?

Pertama sekali kita perlu faham bahawa proses pengumpulan Al-Quran berlaku pada tiga zaman, iaitu zaman Rasulullah, zaman Abu Bakar dan pada zaman Uthman. Resam Usmani yang kita gunakan hari ini adalah berdasarkan pengumpulan Al-Quran pada zaman saidina Uthman.

Perkara kedua yang perlu kita ambil perhatian ialah penyusunannya bersifat tauqifi. Penyusunan tauqifi ialah arahannya jelas daripada syarak. Ia bermaksud wahyu yang diterima oleh Baginda SAW secara terus.

Penyusunan Al-Fatihah

Ulama berpendapat bahawa penyusunan surah ini berdasarkan penyusunan tauqifi, iaitu wahyu yang diterima oleh Rasulullah SAW.

Syeikh Al-Kirmanis ada menyebut yang bermaksud:  “Susun atur surah-surah ini adalah berdasarkan ketetapan Allah. Sebagaimana yang termaktub di Luh Mahfuz dalam tertib ini. Dalam menentukan perkara ini, Rasulullah SAW dikunjungi Jibril setiap tahun untuk menyemak bacaan Al-Quran yang terkumpul dan Jibril telah melakukannya dua kali pada tahun kewafatan Nabi.”

Oleh itu, ulama bersetuju bahawa penetapan surah di dalam Al-Quran adalah berdasarkan wahyu yang telah diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Keistimewaan Surah Al-Fatihah

Namun, apa yang menyebabkan istimewanya surah Al-Fatihah sehingga ia ditempatkan pada susunan pertama dan sebagai pembuka kepada Al-Quran?

Dapat kita melihat bahawa isi kandungan Al-Fatihah sendiri mempunyai maksud yang sangat unik dan mempunyai kelebihan tersendiri. Berdasarkan susunan ayatnya sangat tertib dimulai dengan puji-pujian kepada Allah, kemudian pengakuan terhadap kekuasaannya serta menunjukkan tentang sikap kita terhadap kehidupan ini.

Malah, ia juga merupakan salah satu bentuk doa yang sentiasa dibaca oleh seluruh umat Islam dalam setiap rakaat solat tersebut.

Tuntasnya, surah Al-Fatihah merupakan aspek mengenai kehidupan kita di atas dunia dan disebabkan itu, surah ini berada di awal surah dan menjadi rukun kepada solat. Surah Al-Fatihah memiliki keistimewaannya sebagai panduan dan pelengkap kepada umat Islam.

Sumber: TZKRH.COM