Kota Bharu: Kemasukan kenderaan di Kelantan dari arah utara menerusi Jalan Gerik- Jeli bertambah lima peratus sejak semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, pertambahan kenderaan masuk ke negeri ini dari arah utara iaitu Perak, Kedah dan Perlis.
Katanya, kenderaan di pintu masuk di sekatan jalan raya (SJR) Gua Musang dan SJR Pasir Puteh tidak mengalami pertambahan berikutan warga kota tidak pulang ke kampung.
“Mereka yang masuk ke negeri ini ada alasan kerana mempunyai surat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kebanyakan mereka ada surat termasuk mahu menziarahi kematian ahli keluarga, ziarah keluarga yang sakit dan cucuk vaksin Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, di bandar utama seperti Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat dan Machang turut berlaku pertambahan sebanyak 15 peratus sejak semalam.
“Pertambahan kenderaan di bandar utama ini kerana orang ramai keluar untuk membeli barang keperluan bagimenyambut Aidiladha.
“Kenderaan di bandar utama ini adalah membabitkan penduduk tempatan atau dari daerah yang sama sahaja,” katanya.
Menurutnya, walau bagaimanapun, masyarakat diminta supaya patuh prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.
Katanya, kes di Kelantan masih dalam jumlah tiga angka, jadi orang ramai diminta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Polis menasihatkan kepada masyarakat yang tiada keperluan untuk keluar supaya terus kekal di rumah,” katanya.
Sumber: My Metro