Kepentingan Mencapai Maqam Ihsan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Setiap Muslim wajib melaksanakan lima Rukun Islam supaya selamat di dunia dan akhirat. Setiap muslim juga wajib meyakini enam Rukun Iman. Selain itu, setiap Muslim juga mesti mencapai maqam ‘ihsan’. Apa itu Maqam ‘ihsan’?

Maqam ihsan ialah seseorang Muslim menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya dan sekiranya dia tidak melihat-Nya, maka dia perlu merasai bahawa Allah sentiasa melihatnya.

Rukun Islam, rukun Iman dan maqam ‘ihsan’ adalah kesempurnaan agama bagi setiap Muslim yang sudah baligh dan berakal. Diriwayatkan dalam hadis yang masyhur tentang pertanyaan Jibril AS kepada Rasulullah mengenainya.

Meskipun ramai yang dapat menunaikan Rukun Islam dan Rukun Iman, namun tidak ramai yang memberi perhatian terhadap pencapaian maqam ihsan.

Sebagaimana sabda Nabi SAW: “Kamu menyembah‏ ‏Allah seolah-olah kamu melihat-Nya dan sekiranya kamu tidak dapat ‎melihat-Nya sesungguhnya‏ ‏Dia melihatmu.” (Riwayat Muslim)

Terdapat dua peringkat bagi maqam ihsan iaitu sama ada ‘kamu menyembah‏ ‏Allah seolah-olah kamu melihat-Nya’ sebagai peringkat yang tertinggi dan ‘sekiranya kamu tidak dapat ‎melihat-Nya maka sesungguhnya‏ ‏Dia melihatmu’ sebagai peringkat yang kedua di bawahnya. Tiada peringkat ketiga.

Maka, sudah tentu cukup malang bagi orang yang tidak mencapai salah satu pun daripada dua peringkat itu.

Meskipun di dalam hadis, peringkat tertinggi disebut terlebih dahulu namun bagi mencapai maqam ihsan mestilah dimulai dengan peringkat kedua di bawahnya sebagai permulaan. Seorang Muslim perlu merasakan bahawa Allah selalu memerhatikan dirinya dalam setiap gerak-geri.

Seorang soleh, Ibrahim bin Hamsy an-Naisaburi secara tajam menyindir: “Sekiranya kamu tidak mahu mentaati Tuhanmu maka janganlah kamu makan rezeki-Nya. Sekiranya kamu tidak mahu menjauhi larangan-Nya maka keluarlah dari kerajaan-Nya. Sekiranya kamu tidak reda dengan perbuatan-Nya, maka carilah tuhan selain-Nya. Sekiranya kamu menderhakai-Nya maka keluarlah ke suatu tempat yang Dia tidak melihatmu.”

Bagi memperoleh keyakinan maqam ihsan yang berterusan sudah tentu memerlukan kepada proses penyucian jiwa (tazkiyat an-nafs) yang berterusan juga. Ini kerana selagi hidup, manusia tidak boleh lari daripada godaan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia sampailah dia meninggal dunia.

Oleh itu, penghasilan ihsan dalam diri ini cukup dititikberatkan oleh ulama sufi dalam membimbing dan memimpin masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, mereka tidaklah terus menekankan peringkat pertama maqam ihsan kerana peringkat berkenaan tentunya peringkat yang agak sukar untuk dicapai oleh ‎semua orang.

Peringkat keduanya adalah lebih mudah untuk diusahakan dan diperoleh berbanding dengan peringkat ‎pertama. Maka, sekurang-kurangnya peringkat inilah yang mesti dicapai oleh setiap Muslim.

Perincian tentang perbahasan peringkat maqam ihsan ini menghasilkan satu disiplin ilmu yang disebut ‘ilmu tasawuf.’ Ilmu tasawuf bukan satu perkara bidaah sebagaimana tohmahan sebahagian golongan jahil. Asas dan umbinya adalah maqam ihsan yang disebutkan dalam hadis itu.

Ia sebagaimana Rukun lslam menghasilkan satu disiplin ilmu yang disebut ‘ilmu fiqah’, dan Rukun lman pula menghasilkan satu disiplin ilmu yang disebut ‘ilmu akidah.’

Sumber: HARIAN METRO