KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan menjalankan ujian makmal terhadap sampel puding buih yang dimakan oleh dua kanak-kanak (lelaki dan perempuan) sehingga menyebabkan mereka mengalami keracunan makanan Rabu lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sampel itu akan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Bukit Tunggal dan keputusannya akan diperoleh dalam tempoh tujuh hari.
“Sekiranya terbukti puding buih penyebab keracunan makanan itu, peniaga boleh diambil tindakan mengikut peraturan 39 di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya
Semalam, media melaporkan dua beradik dari Kampung Seberang Tuan Chik di sini, mengalami cirit-birit dan muntah pada jam 4 pagi dipercayai selepas memakan puding buih yang dibeli oleh ibu mereka di sebuah gerai di Bukit Tumbuh pada 6 petang, Rabu lalu.
Kanak-kanak berusia sembilan dan tujuh tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Khamis dan masih menerima rawatan sehingga kini, namun kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan seorang daripada mereka akan dibenarkan pulang hari ini.
Sumber: HARIAN METRO