Kerajaan Bincang Kaedah Penggunaan Ketum, Ganja

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi melihat kesesuaian dan kaedah penggunaan ketum serta ganja dalam bidang perubatan sekiranya ia dibenarkan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata beliau akan memperincikan perkara itu termasuk melakukan perbincangan dengan pihak industri, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Katanya, perbincangan juga untuk melihat kesesuaian bagaimana cara untuk produk itu ditanam, diproses serta dijual hasilnya dalam keadaan terkawal.

“Saya sendiri sudah dibentangkan oleh beberapa pasukan daripada industri dan persatuan berhubung ketum dan kanabis yang kita lihat di dunia ini, termasuk Thailand yang aktif, namun di negara ini ia adalah barangan di bawah kawalan.

“Kalau dapat hasilkan dalam keadaan terkawal dari segi tanaman dan proses untuk bidang perubatan dalam negara, termasuk menghasilkan minyak serta lebih kepada eksport, ini mungkin salah satu perkara yang kita perlu fokus,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika melawat Lembaga Kenaf dan Tembakau (LKTN) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching.

Fadillah berkata, tanaman itu mempunyai nilai yang positif terutama dalam bidang perubatan dan kawalan perlu dibuat memandangkan ia mempunyai persepsi negatif.

Media sebelum ini melaporkan, mekanisme kawalan yang teratur perlu diadakan terlebih dulu sebelum industri berasaskan produk ganja dan ketum dibangunkan di negara ini.

Ia penting bagi melindungi rakyat daripada kemudaratan akibat penyalahgunaan dan penagihan bahan-bahan psikotropik yang terdapat pada kedua-dua tanaman berkenaan.

Sumber : BERITA HARIAN