Kerajaan Dicadang Bina Penempatan Awam Di Bandar Baharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim mencadangkan agar kerajaan negeri membina penempatan kakitangan dan rakyat awam di Bandar Baharu Kuala Nerus kerana ia berpotensi untuk memajukan kawasan tersebut.

Katanya, saranan itu bertepatan dengn titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang memberi fokus tentang Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah yang dijangka beroperasi pada Februari tahun hadapan.

“Kakitangan awam daripada pelbagai peringkat ini (menjadi) sebagai satu nukleus penting untuk memastikan bandar ini hidup, (jadi) menempatkan rakyat awam adalah wajar untuk untuk melihat pertumbuhan ekonomi yang pesat dan cepat.

“Bandar Hijau yang diimpikan dalam perancangan asal ini hendaklah dibuktikan oleh pihak berkuasa untuk dijadikan contoh bandar baharu lestari,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan berbeza, Hishamuddin turut mencadangkan agar istilah ‘pembangkang’ tidak lagi digunakan, sebaliknya diganti dengan istilah ‘rakan kerajaan’.

“Tuanku memperingatkan kita sebagai ahli badan perundangan dan pemimpin politik supaya  memelihara perpaduan, saling hormat menghormati, menjauhi fitnah, menjunjung profesionalisme.

“Bersikap rasional dan objektif, mematuhi undang-undang, membuktikan Islam sebagai sistem kehidupan serta mengutamakan kepentingan rakyat mengatasi (kepentingan) diri dan parti,” ujarnya.

Sumber: TRDI News