PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kenaikan kadar maksimum cuti rehat itu dapat memberi ruang penjawat awam meningkatkan wang persaraan mereka.
“Kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.
“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan sekaligus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak,” jelasnya.
Pengumuman itu dibuat ketika berucap di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.
Sumber : AWANI