Kerajaan Negeri akan Bangunkan Kembali Kawasan Kampung Cina Terbakar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu bakal membangunkan semula kawasan Kampung Cina di sini yang terbakar kelmarin dengan mengekalkan ciri-ciri warisan yang terdapat di kawasan tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perbincangan pembangunan semula akan dibuat bersama sebahagian pemilik bangunan sebaik laporan penuh berkaitan kejadian diperoleh.

“Kita akan bincang cara terbaik supaya ia (pembangunan semula) tidak pelik, …kalau jadi bangunan lain, suasana di sini pun jadi lain.

“Sebab bila pemilik peribadi, kita kena cuba yakinkan mereka supaya kerajaan boleh bantu dengan cara-cara tertentu untuk kekalkan suasana (warisan).

“Kita akan cuba memastikan suasana di kawasan Kampung Cina yang menjadi warisan atau tempat sejarah bagi Kuala Terengganu ini dibangunkan kembali dan tidak terjejas akibat kebakaran,” katanya ditemui selepas melawat lokasi kebakaran di Kampung Cina, hari ini.

Tambah beliau, buat permulaan sebanyak RM2,000 kepada setiap mangsa untuk pengurusan semasa dan perbincangan akan diadakan bersama penyewa atau pemilik bangunan bagi menyelesaikan masalah berkaitan.

Terdahulu, semalam, kesemua 12 mangsa di Jalan Bandar, Kampung Cina kebakaran tersebut telah menerima bantuan awal sebanyak RM 1,000 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Sumber : UNIT BERITA MANIS FM