KUANTAN : Seramai 31 orang pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Mesir menerima wang tunai sebanyak RM2,000 seorang serta sumbangan jaket musim sejuk dan sebuah bagasi (hand carry).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed berkata, sumbangan Kerajaan Negeri yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang baru-baru ini diharap dapat meniup semangat mereka untuk menimba ilmu.
“Mesir digelar ‘ardul kinanah’ antaranya bermaksud bumi yang menyimpan anak panah di mana ia diumpamakan tempat ‘simpanan’ anak panah yang tidak akan terhenti dengan lahirnya ulama.
“Saya berharap agar semua pelajar tidak sia-siakan peluang ketika berada di bumi yang melahirkan begitu ramai ulamak dan subur dengan ilmu.
“Semoga anda semua balik dengan bekalan yang banyak, himpunan yang besar serta pengalaman ilmu yang penuh keberkatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meraikan semua pelajar ke Timur Tengah itu serta 100 orang pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Negeri secara dalam talian bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH Dato’ Dr. Zulkifle Ali.
Dalam pada itu, beliau berharap semua pelajar yang turut menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan untuk menyambung pelajaran daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) agar tidak hanyut dengan pengaruh luar.
“Maklumlah kita akan pergi ke negara yang buminya bukan bumi kita, yang budayanya bukan budaya kita, yang sosialnya bukan sosial kita.
“Maka niat yang bersih serta berkobar-kobar itu janganlah sampai dirosakkan oleh kerana berlakunya pertembungan pelbagai corak hidup, jangan dia-siakan masa remaja yang berharga dalam menuntut ilmu,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA