PUTRAJAYA – Kerajaan negeri melalui Exco Dakwah dan agensi-agensi yang bernaung di bawahnya bersama Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) membuka ruang kerjasama menyemarakkan agenda dakwah antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kesempatan tersebut diambil ketika melakukan kunjung hormat ke JAKIM, hari ini.
“Kita ada susun pertemuan ini awal dahulu namun ada kekangan yang menghalang, tidak lain untuk pihak kerajaan negeri mengucapkan tahniah atas lantikan Ketua Pengarah JAKIM yang juga anak watan Terengganu.
“Pada masa yang sama, kami (kerajaan negeri) berkunjung bagi mengukuhkan persaudaraan dan hubungan baik tentang agensi hal ehwal Islam serta meningkatkan pembangunan Islam selari dengan hasrat Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi ramah-mesra bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan kepimpinannya dalam sesi kunjung hormat di Pejabat JAKIM, Putrajaya, di sini.
Turut hadir Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron, Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin (DUAT), Ramlan Mahmood dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), M. Rozi Bidin
Selain itu, kerajaan negeri juga membawa cadangan buat JAKIM bagi turut memilih Terengganu sebagai lokasi untuk semarakkan aktiviti dakwah selain perbincangan tentang kebajikan guru-guru KAFA.
Hakimah mula menjawat di perkhidmatan awam sebagai Penolong Pengarah Bahagian Hub Halal JAKIM pada 1992 dan pernah dilantik sebagai Timbalan ketua Pengarah (Dasar) JAKIM sebelum menjadi wanita pertama yang ditugaskan menerajui JAKIM.
Sumber : TRDI