Kerajaan Negeri Jalin Kerjasama Rapat dengan AMD

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kerajaan Pahang berhasrat menjalin hubungan kerjasama erat bersama Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) secara menang-menang bagi menggalakkan bakat-bakat pemain bola sepak dari negeri ini untuk sama-sama merebut peluang di AMD.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, AMD mampu melahirkan pemain bola sepak yang hebat serata Malaysia apatah lagi anak jati Negeri Pahang yang perlu merebut peluang keemasan ini.

Saya amat berharap pelatih-pelatih yang terpilih untuk berada di akademi ini mengambil kesempatan sepenuhnya bukan sahaja belajar mengenai selok belok bola sepak, memahirkan diri tetapi menggunakan sepenuhnya fasiliti yang ada di sini dan saya rasa dengan kemudahan yang ada mereka boleh pergi jauh lagi selaku pemain bola sepak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, di sini hari ini.

Beliau telah mendapat penerangan ringkas dan padat daripada Pengurus AMD, Encik Mohd Zairul Faiz Zanudin dan turut diiringi Ketua Jurulatih Remaja Negeri Pahang Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Encik Juzaili Sameon.

Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang telah ditubuhkan pada 2014 menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bertujuan menyediakan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di kalangan pelatih.

AMD menyediakan pelbagai kemudahan canggih dan selesa antaranya adalah 10 padang bola sepak, bilik darjah yang selesa, gymnasium, bilik rawatan dan terapi, kafeteria dan kemudahan-kemudahan asrama yang cukup selesa.

AMD kini mempunyai 183 pelatih berusia 14 tahun hingga 17 tahun dari seluruh Malaysia dan pada Mac depan akan berlaku pertambahan pelajar kepada 230 orang.

Sehingga kini, kebanyakan pelatih-pelatih AMD telah berjaya menempatkan diri bersama kelab bola sepak profesional selepas bergraduasi dari AMD.

Sumber : PAHANG MEDIA