Kerajaan Negeri Lancar Terengganu Contact Centre (TECC)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri semalam , melancarkan pusat panggilan setempat Terengganu Contact Centre (TeCC) dengan penggunaan #6006000 sebagai satu nombor tunggal dan berpusat untuk pelbagai urusan kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, TeCC di bawah Unit Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berperanan sebagai pemudah cara komunikasi antara orang awam dengan agensi kerajaan.

“Diharapkan TeCC dapat berdiri setanding dengan pusat-pusat panggilan setempat yang ada di Malaysia seperti MyGCC yang diuruskan oleh MAMPU dan ONCC yang dimiliki oleh Kerajaan Melaka.

“Saya percaya dengan semangat dan azam yang kuat dibantu oleh kerajaan negeri, TeCC akan dapat berperanan secara maksimum,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pelancaran Terengganu Contact Centre (TeCC) di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, cabaran selepas ini adalah untuk memastikan TeCC dapat berfungsi sebagaimana yang dihasratkan oleh semua dan peranannya juga signifikan dalam membantu kerajaan menjadi sebuah kerajaan sejahtera serta mesra rakyat.

“Justeru, perkhidmatan kepada rakyat perlu diberi mengikut peranan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan berdasarkan kepada keupayaan masing-masing agar tiada yang terpinggir dari menikmati arus kemajuan,” ujarnya.

Sumber : UNIT BERITA MANIS FM