Georgetown: Kerajaan negeri menafikan akan menganjurkan Pesta Pulau Pinang 2021 yang didakwa diadakan pada 1 hingga 31 Disember depan.
Pegawai Kewangan Negeri Datuk Dr Mohamad Farazi Johari berkata, berita yang tersebar di media sosial mengenai penganjuran itu palsu.
Katanya, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya dan menyebarkan berita palsu yang tular di media sosial.
“Kerajaan negeri menafikan berita palsu itu dan menegaskan tiada penganjuran Pesta Pulau Pinang atau pada bila-bila masa dalam tahun ini.
“Diharap orang ramai mendapatkan kesahihan daripada sumber yang betul berhubung isu berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, di sini, semalam.
Mohamad Farazi berkata, sebarang maklumat berkaitan penganjuran pesta berkenaan akan dikeluarkan secara rasmi oleh kerajaan negeri.
Pesta Pulau Pinang yang diadakan setiap tahun di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini, dibatalkan tahun lalu berikutan situasi semasa pandemik Covid-19.
Pesta itu yang kini menjangkau usia 55 tahun adalah ikon pelancongan Pulau Mutiara serta menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Sumber: My Metro