Kerajaan Negeri Peruntuk RM5 Juta Baik Pulih Jambatan Belukar Bukit – Exco

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu akan memperuntukkan kira-kira sebanyak RM5 juta bagi kerja-kerja membaik pulih jambatan di Belukar Bukit, Hulu Terengganu yang runtuh akibat banjir luar biasa pada akhir Februari lepas. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata, proses membaik pulih jambatan untuk penyelesaian jangka masa panjang itu antara lain yang merangkumi kerja-kerja penyambungan jambatan sepanjang kira-kira 12 meter.

“Projek ini di bawah kerajaan negeri dengan kerjasama JKR (Jabatan Kerja Raya). Kita akan lantik konsultan terlebih dahulu untuk menyiapkan reka bentuk projek, selepas itu kita akan laksanakan dan Insya-Allah tidak sampai setahun ia akan siap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Katanya, pada masa yang sama JKR akan segera membina sebuah titi sebagai gantian sementara jambatan yang menghubungkan Kampung Belukar Bukit dan Kampung Betong dengan kos angaran kira-kira RM100,000.

Beliau berkata, pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah melantik syarikat konsesi bagi mengendalikan pembinaan titi berkenaan dan ia dijangka siap dalam tempoh lima atau enam hari lagi. Titi itu ia boleh digunakan oleh pejalan kaki, penunggang basikal dan penunggang motosikal.

Sumber: BERNAMA